Saturday 8 December 2018

KPS3014 BAB 8: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN (bilik darjah/makmal/studio/dll).


NAMA: NURUL AIN SHAHIRA BINTI ROSMAN
NO. MATRIK: D20172080319
PROGRAM: ISMP MATEMATIK (AT14)
SEMESTER: 2

STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN (bilik darjah/makmal/studio/dll).

Bab kelapan yang dibincangkan di dalam kursus pengurusan pembelajaran ini ialah strategi mengurus bilik pembelajaran (bilik darjah/makmal/studio/dll). Bab ini menjelaskan mengenai tiga faktor strategi mengurus bilik pembelajaran iaitu faktor fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah.
Benoit dan Trigeorgis (dalam Anna Sam, 2014) menjelaskan bahawa strategi membawa maksud pelbagai cara untuk mencapai tujuan. Strategi juga dapat didefinisikan sebagai perilaku yang diambil oleh seseorang yang menggambarkan berbagai tindakan terkait dengan keadaan atau permainan. Manakala pengurusan bilik pembelajaan pula merujuk kepada proses perancangan, perorganisasian, dan kawalan pelajar serta proses pembelajaran untuk memastikan suasana yang berkesan. Menurut Richards (dalam Ahmad Zabidi Abdul Razak, 2006) menjelaskan bahawa “pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajarn dapat dilaksanakan dengan berkesan.”
Faktor yang mempengaruhi strategi mengurus bilik pembelajaran ialah faktor fizikal bilik darjah. Fizikal bilik darjah ini menitikberatkan penyusunan bilik darjah. Penyusunan bilik darjah amat penting dalam situasi pembelajaran pelajar, keadaan in dapat menggalakkan atau menghalang sesuatu pembelajaran. Pengurusan bilik darjah memerlukan rutin bilik darjah. Tujuan rutin bilik darjah adalah untuk menimbulkan rasa tanggungjawab, perasaan seronok dan bekerjasama di kalangan pelajar. Ia juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kegiatan rutin bilik darjah adalah seperti membuat pemeriksaan tentang keadaan fizikal bilik darjah, menyediakan bahan pelajaran dan menyusun dengan betul dan mudah dicapai, menetapkan waktu yang sesuai untuk melakukan rutin bilik darjah dan merancang sesuatu rutin itu dengan sempurna dan bersistem. Faedah rutin bilik ialah proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur, pengurusan rutin yang teratur dapat menjimatkan masa guru dan pelajar, rutin akan menyemai nilai-nilai murni di kalangan pelajar, dan akhir sekali pengurusan rutin bilik darjah yang sempurna dan cekap akan menimbulkan rasa selamat kepada pelajar.
Faktor yang seterusnya ialah interaksi dalam bilik darjah. Terdapat beberapa jenis interaksi bercorak lisan iaitu interaksi sehala atau tradisional, interaksi dua hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid, interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid dan akhir sekali interaksi berkomputer. Interaksi sehala ialah interaksi bilik darjah di mana guru yang mengawal segala aktiviti P&P yang berlaku di dalam kelas. Interaksi dua hala antara guru dan murid ialah guru menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif. Interaksi dua hala antara murid dengan murid ialah guru menggunakan pendekatan kumpulan, kertas kerja, kaedah bermain dan lakonan sebagai aktiviti dalam p&p. Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid ialah guru menggunakan kaedah dan teknik pengajaran seperti simulasi, main peranan, pendekatan kumpulan, perbincangan, ujikaji dan kaedah penyelesaian masalah.
Faktor yang terakhir adalah iklim bilik darjah. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personaliti seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Iklim bilik darjah terbahagi kepada 3 iaitu suasana fizikal, suasana sosial dan suasana emosi. Suasana fizikal melibatkan unsur fizikal bilik darjah. Perancangan dan penyusunan ini melibatkan mengorganisasi, merancang dan penggunaan ABM, APD, kerusi, meja, papan tulis dan sebagainya. Bagi mencapai suasana sosial bilik darjah, guru akan mengkaji melalui pemerhatian biasa teknik sosiometri. Sosiometri merupakan teknik untuk mencari dan menunjukkan perhubungan individu dengan pelajar. Akhir sekali, suasana emosi bilik darjah. Ia melibatkan gabungan berbagai-bagai perkara iaitu suara, kelucuan, penggunaan pujian, kawalan, kepimpunan dan kaedah mengajar.
Kesimpulannya, strategi mengurus bilik pembelajaran adalah berkait rapat dengan tiga faktor iaitu unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Oleh itu, guru memainkan penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan objektif pembelajaran.

Rujukan

Ahmad Zabidi Abdul Razak. (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan, 31, 3-19, http://ejournal.ukm.my/jpend/article/view/14749
Aniez. (2012). Mengurus Iklim Pembelajaran Positif. Diperoleh daripada https://www.scribd.com/document/93545921/Mengurus-Iklim-Pembelajaran-Positif
Anna Sam. (2014). STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN (BD). Diperoleh daripada https://prezi.com/pgbppf14o2kf/strategi-mengurus-bilik-pembelajaran-bd/
Jue Khazali. (2015). Kepentingan Iklim Sekolah Yang Positif. Diperoleh daripada https://www.scribd.com/doc/262241383/Kepentingan-Iklim-Sekolah-Yang-Positif
Siti Shamzela. (2011). KEPENTINGAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF. Diperoleh daripada http://sshamzela.blogspot.com/2011/05/kepentingan-iklim-sekolah-yang-positif.html

Zalina Ina. (2012). Mewujudkan Iklim Bilik Darjah Yang Kondusif. Diperoleh daripada https://www.scribd.com/document/86625589/Mewujudkan-Iklim-Bilik-Darjah-Yang-Kondusif

No comments:

Post a Comment