Saturday 8 December 2018

KPS3014 BAB 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH.


NAMA: NURUL AIN SHAHIRA BINTI ROSMAN
NO. MATRIK: D20172080319
PROGRAM: ISMP MATEMATIK (AT14)
SEMESTER: 2


PENGURUSAN BILIK DARJAH.

Bab keenam yang dibincangkan di dalam kursus pengurusan pembelajaran ini ialah pengurusan bilik darjah. Bab ini menjelaskan mengenai lima elemen pengurusan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Pengurusan bilik darjah terbahagi kepada lima elemen iaitu aktiviti pengajaran berkumpulan, pusat pembelajaran, pengurusan sumber, aktiviti pengajaran individu dan penyediaan bahan.
Aktiviti pengajaran berkumpulan ini adalah kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan. Murid dikelompokkan sama ada dalam kumpulan sama kebolehan atau berbeza kebolehan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan penglibatan aktif individu, memupuk kerjasama antara murid, memudahkan guru membimbing murid dan murid yang cerdas boleh membantu murid yang lemah. Prinsip pengajaran berkumpulan ialah guru perlu bersedia dalam menghadapi pelbagai situasi, aktiviti yang dibuat perlu dirancangan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan di dalam bilik darjah, guru juga harusnya memberi penerangan yang jelas mengenai tugasan dan akhir sekali perhatian sama rata diberikan kepada semua kumpulan.
Seterusnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran individu merupakan pembelajaran di mana murid akan mengusai kemahiran mengikut kebolehan mereka. Pengajaran individu boleh dilakukan dengan menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang kecil. Guru perlu menyediakan situasi pembelajaran yang dapat meransang murid untuk belajar. Tujuannya adalah untuk menggalakkan murid untuk memperkembangkan kemahiran berfikir dan bertindak dengan sendiri. Murid juga akan dapat keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk belajar.
Pusat pembelajaran merupakan ruang dalam bilik darjah yang dilengkapi pelbagai bahan sumber dan dibina mengikut kreativiti guru dan murid. Ia bertujuan untuk mewujudkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara formal atau tidak formal. Sesi pengajaran juga dapat dilakukan dengan pelbagai teknik, kaedah dan pendekatan. Pusat pembelajaran juga berfungsi sebagai tempat untuk mempamerkan hasil kerja murid bagi membina kreativiti dan keyakinan murid. Menurut Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh, "Kronowitz (2004) mencadangkan agar guru menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini."
Penyediaan bahan juga merupakan salah satu elemen pengurusan bilik darjah. Bahan pengajaran adalah apa sahaja bahan yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Ia juga dikenali sebagai media pendidikan iaitu seperti perkakasan, bahan atau perisian. Tujuan bahan pengajaran digunakan adalah untuk meransang situasi pembelajaran yang lebih menarik, memudahkan guru untuk menjelaskan apa yang hendak diajar dan secara tidak langsung membantu murid untuk memahami apa yang diajar yang lebih cepat dan mudah.
Akhir sekali, pengurusan sumber ialah satu proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran sempurna. Ia bertujuan untuk mendorong perkembangan pembelajaran murid, menimbulkan minat dan semangat untuk murid belajar dan membina suasana dan persekitaran pendidikan yang mencabar. Namun terdapat kekangan dalam pengurusan sumber seperti bilik darjah yang kecil, kekurangan perabot untuk mewujudkan sudut menarik, kekurangan bekas untuk penyimpanan bahan dan kekurangan bahan serta alat.
Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah adalah untuk membantu guru mengendalikan dan menguruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan lebih mudah. Pengetahuan yang mendalam tentang pengurusan bilik darjah akan memberikan keyakinan dan menjimatkan masa guru dalam semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Rujukan

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh daripada
http://irep.iium.edu.my/13309/1/Chapter_-_Pengurusan_Bilik_Darjah_-_2009.pdf

No comments:

Post a Comment