Saturday 8 December 2018

KPS3014 BAB 5: PENGURUSAN MURID.


NAMA: NURUL AIN SHAHIRA BINTI ROSMAN
NO. MATRIK: D20172080319
PROGRAM: ISMP MATEMATIK (AT14)
SEMESTER: 2

PENGURUSAN MURID.

Bab kelima yang dibincangkan di dalam kursus pengurusan pembelajaran ini ialah pengurusan murid. Bab ini menjelaskan mengenai jenis kesediaan belajar, masalah perbezaan kesediaan belajar, konsep motivasi, kaedah meningkatkan motivasi pelajar dan implikasi motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Jenis kesediaan belajar iaitu kesediaan kognitif, afektif dan psikomotor. Kesediaan kognitif bergantung kepada keupayaan mental untuk berfikir dan memahami. Perkembangan mental seseorang juga bergantung kepada umur. Kesediaan afektif pula merujuk kepada sikap, keinginan, ketekunan, perasaan, dan minat dalam menerima pelajaran yang diperolehi. Pelajar akan lebih aktif dan agresif dalam menerima pengajaran sekiranya mereka mempunyai minat untuk belajar. Kesediaan psikomotor pula tertumpu kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal. Terdapat dua faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar iaitu pengalaman dan kematangan. Manakala terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada masalah perbezaan kesediaan belajar iaitu perbezaan perkembangan mental, perbezaan sikap dan minat, perbezaan kadar pertumbuhan fizikal, perbezaan keyakinan diri, perbezaan jantina dan akhir sekali perbezaan dalam diri individu.
Di samping itu, bab ini juga menjelaskan konsep motivasi. Motivasi merupakan tingkah laku untuk mencapai keinginan dalam diri. Dengan adanya motivasi ia akan dapat membangkitkan respond untuk mencapai tujuan yang ingin dicapai. Menurut Ahmad Zabidi Abdul Razak, "Menurut Rotter (1975) yang membentangkan Teori Motivasi Pembelajaran Sosial, individu yang mengetahui kaitan antara kelakuan mereka dan kesan yang dialami mempunyai kecenderungan kawalan dalaman yang kuat. Mereka tahu bahawa tindakan yang mereka ambil akan mempengaruhi apa yang berlaku kepada mereka." Guru yang sentiasa memberikan motivasi kepada murid-murid akan mendorong mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh.
Terdapat beberapa kaedah bagaimana guru dapat meningkatkan motivasi kepada pelajar. Pertama sekali adalah dengan memberi peneguhan positif dan negatid. Peneguhan positif akan membantu pelajar untuk mencapai matlamat dan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh guru. Guru boleh memberi peneguhan positif dengan cara memberi pujian dan hadiah. Peneguhan negatif pula bertujuan untuk mengelakkan tingkah laku negatif yang boleh menghalang kelicinan proses Pengajaran dan Pembelajaran. Contoh peneguhan negatif adalah seperti mengasingkan tempat duduk pelajar yang bermasalah dari segi tingkah laku. Kaedah lain yang dapat meningkatkan motivasi kepada pelajar adalah dengan menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif, menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik yang perlu dicapai oleh pelajar, memberi penglibatan kepada semua pelajar dalam aktiviti pembelajaran di dalam atau luar kelas, menggalakkan suasana tolong-menolong dalam kalangan pelajar dan mendorong pelajar lemah untuk meningkatkan pencapaian kerja mereka. Implikasi motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran ialah dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti akademik, pencapaian pelajar dapat dipertingkatkan, dan mampu membangkitkan naluri ingin tahu pelajar.
Kesimpulannya, suasana pembelajaran yang bermotivasi akan membantu pelajar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik.  Sekiranya suasana pembelajaran yang positif, guru dan murid akan lebih bermotivasi dan pada masa yang sama aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik.

Rujukan


Ahmad Zabidi Abdul Razak. (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan, 31, 3-19, http://ejournal.ukm.my/jpend/article/view/14749

No comments:

Post a Comment