Saturday 8 December 2018

KPS3014 BAB 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA.


NAMA: NURUL AIN SHAHIRA BINTI ROSMAN
NO. MATRIK: D20172080319
PROGRAM: ISMP MATEMATIK (AT14)
SEMESTER: 2

PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA.

Bab kesebelas yang dibincangkan di dalam kursus pengurusan pembelajaran ini ialah pengurusan pelbagai budaya. Bab ini menjelaskan mengenai peranan sekolah dalam pengurusan pelbagai budaya, tujuan konsep pembezaan dalam konteks pengurusan pelbagai budaya dan cabaran dan implikasi dalam pengurusan pelbagai budaya.
Kepelbagaian pelajar dan peranan sekolah. Sekolah memikul tanggungjawab memastikan sama ada struktur program mereka responsif terhadap kepelbagaian pelajar atau tidak. Pendekatan pendidikan inklusif adalah satu model untuk sekolah-sekolah menangani ciri kepelbagaian di kelas biasa. Pendidikan inklusif bermaksud usaha untuk mengintegrasikan pelajar secara individu. Manakala istilah lain pula mendefinisikan pendidikan inklusif sebagai satu falsafah sekolah. Dalam konteks pendidikan inklusif, beberapa perubahan perlu dilakukan terutamanya peranan sekolah khas iaitu dengan membuka peluang kepada pelajar yang mengalami kecacatan teruk dan pelbagai, berperanan sebagai pusat rujukan dan perundingan serta bekerjasama dengan sekolah biasa untuk menjayakan pendidikan inklusif dan akhir sekali menjalankan kursus pengembangan staf atau kursus-kursus dalam perkhidmatan guru biasa.   Tujuan pembezaan adalah untuk menggalakkan kejayaan pembelajaran dalam kalangan pelajar dengan cara membolehkan pelajar daripada latar belakang dan kebolehan yang berbeza untuk membuktikan apa yang mereka tahu, faham, dan apa yang boleh mereka lakukan. Proses ini juga membuka peluang kepada pelajar untuk diberi tugas-tugas yang sesuai dan relevan dengan kebolehan mereka.
Cabaran dan implikasi dalam pengurusan pelbagai budaya ialah proses pendidikan sentiasa mengalami perubahan secara berterusan. Menurut Mior Khairul Azrin  (2011) menjelaskan bahawa “terdapat hubungan yang renggang antara murid Islam dan bukan  Islam,  kurangnya pergaulan antara murid Islam dan murid bukan Islam terutama selepas waktu sekolah,  kurangnya  pengetahuan  dan  tidak memahami  dengan  mendalam  mengenai budaya,  amalan,  dan  adat  resam  sesuatu  kaum.” Bagi menghadapi perubahan ke arah menangani kepelbagaian pelajar secara berkesan dan berkualiti, terdapat 2 kaedah yang boleh dilakukan oleh guru iaitu melalui program perguruan asas atau pra perkhidmatan. Sukatan pelajaran pendidikan guru di maktab dan universiti perlu dikaji semula untuk menekankan komponen kepelbagaian pelajar dari pemahaman konsep dan kaedah, struktur serta organisasi sekolah yang mendokong falsafah inklusif. Seterusnya, melalui kursus dan perkhidmatan. Kursus dalam perkhidmatan dilakukan secara berterusan untuk membantu para guru menangani perubahan secara berkesan.
Kesimpulannya, guru merupakan aset penting dalam pembentukan pelajar yang pelbagai budaya. Seseorang guru itu haruslah berusaha dalam menangani masalah pelajar-pelajarnya yang datang dari pelbagai sudut dan aspek.

RUJUKAN

Mior Khairul Azrin   (dalam Ab. Halim Tamuri & Nur Hanani Hussin, (2017). Pendidikan Abad ke-21 Dalam Kepelbagaian Budaya: Cabaran dan Harapan. Diperoleh daripada (PDF) Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya: Cabaran dan Harapan
https://www.researchgate.net/publication/320858903_Pendidikan_Abad_ke_21_Dalam_Kepelbagaian_Budaya_Cabaran_dan_Harapan

No comments:

Post a Comment